Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Wahai Nabi! Tetaplah
bertaqwa kepada Allah, dan janganlah engkau patuhi kehendak orang-orang
kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah adalah Maha
Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Dan turutlah akan apa
yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam
Jahiliyah); sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan.
Dan berserahlah kepada
Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana
cukuplah Allah menjadi Pentadbir urusanmu.
(Diperintahkan dengan
yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang
mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan
isteri-isteri yang kamu "zihar" kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga
tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri.
Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu
hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah
menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang
betul.
Panggilah anak-anak
angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara
itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak
mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai
saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu. Dan
kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap
melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang
disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah Maha
Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Nabi itu lebih menolong
dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang beriman daripada diri mereka
sendiri; dan isteri-isterinya adalah menjadi ibu mereka. Dan
orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak
(mewarisi) akan setengahnya yang lain - menurut (hukum) Kitab Allah -
daripada orang-orang yang beriman dan orang-orang Muhajirin (yang bukan
kerabatnya), kecuali kalau kamu hendak berbuat baik kepada
sahabat-sahabat karib kamu. Hukum yang demikian itu adalah tertulis
dalam Kitab Allah.
Teruslah bertaqwa kepada
Kami) dan (ingatlah) ketika Kami mengambil dari Nabi-nabi (umumnya):
perjanjian setia mereka, dan (khasnya) dari engkau sendiri (wahai
Muhammad), dan dari Nabi Nuh, dan Nabi Ibrahim, dan Nabi Musa, serta.
Nabi Isa ibni Maryam; dan Kami telah mengambil dari mereka: perjanjian
setia yang teguh (bagi menyempurnakan apa yang ditugaskan kepada
mereka);
Tuhan berbuat demikian)
supaya Ia menyoal orang-orang yang benar beriman tentang kebenaran iman
mereka (untuk menyempurnakan balasan baik mereka); dan (sebaliknya) Ia
telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
Wahai orang-orang yang
beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu.
Semasa kamu didatangi tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada
mereka angin ribut (yang kencang) serta angkatan tentera (dari malaikat)
yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat
apa yang kamu lakukan.
Masa itu ialah masa
tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah
hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata
kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun
resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula
menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.
Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.
Dan lagi masa itu ialah
masa orang-orang munafik dan orang-orang yang tidak sihat dan tidak kuat
iman dalam hatinya berkata: "Allah dan RasulNya tidak menjanjikan
kepada kita melainkan perkara yang memperdayakan sahaja".
Dan juga masa itu ialah
masa segolongan di antara mereka berkata: "Wahai penduduk Yathrib,
tempat ini bukan tempat bagi kamu (untuk berjuang di sini), oleh itu
baliklah". Dan sebahagian dari mereka pula meminta izin kepada Nabi
(hendak balik) sambil berkata: "Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan
perlindungan", pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya
bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).
Dan kalaulah
tempat-tempat kediaman mereka itu diserang oleh musuh dari segala
penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah menentang Islam,
sudah tentu mereka akan melakukannya, dan mereka tidak bertangguh lagi
tentang itu melainkan sebentar sahaja.
Pada hal sesungguhnya
mereka telahpun mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka
tidak akan berpaling undur (dari medan perang yang mereka hadiri). Dan
(ingatlah) janji setia dengan Allah itu akan ditanya kelak (tentang
penyempurnaannya).
Katakanlah (wahai
Muhammad): "Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari
pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali
mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini
terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup
melainkan sedikit masa sahaja".
Katakanlah: "Siapakah
yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan
bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan
Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? " Dan (ingatkanlah)
mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun -
yang lain dari Allah - yang akan menjadi pelindung atau penolong
mereka.
Sesungguhnya Allah
mengetahui akan orang-orang (munafik) yang menghalangi di antara kamu,
dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya: "Marilah bersatu
dengan kami", sedang mereka tidak turut berperang melainkan sebentar
sahaja.
Mereka bersikap bakhil
kedekut terhadap kamu (wahai orang-orang mukmin untuk memberikan
sebarang pertolongan); dalam pada itu apabila datang (ancaman musuh yang
menimbulkan) ketakutan, engkau melihat mereka memandang kepadamu (wahai
Muhammad, meminta pertolonganmu) dengan keadaan mata mereka berputar
seperti orang yang pengsan semasa hampir mati. Kemudian apabila hilang
perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil
mereka tamakan kebaikan (yang diberikan Allah kepada kamu). Mereka itu
tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian
itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya.
Mereka menyangka bahawa
tentera "Al-Ahzaab" itu belum pergi; dan kalaulah tentera Al-Ahzaab
datang semula, tentulah mereka suka kalau mereka tinggal jauh di
desa-desa bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan berita
mengenai kamu; dan kalaulah mereka ada bersama-sama kamu (pada ketika
itu), mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
Demi
sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan
yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah
dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati
Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)
Dan pada masa orang-orang
yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang
telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang
telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang
mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain
daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada
Allah.
Di antara
orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa
yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam);
maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu
(lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan
mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.
(Berlakunya
yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan
kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia
kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan Allah
telah menghalau kembali (angkatan tentera) orang-orang yang kafir itu
(ke tempat masing-masing) dengan keadaan mereka geram marah (kerana
gagal dan hampa), mereka tidak mendapat sebarang keuntungan. Dan Allah
selamatkan orang-orang yang beriman dari bencana menghadapi peperangan
itu. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.
Dan Ia menurunkan
golongan Ahli Kitab (kaum Yahudi) yang membantu tentera musuh itu, dari
benteng-benteng mereka (menyerah diri), setelah diisikanNya hati mereka
dengan perasaan gerun. (Lalu mereka diadili dan dijatuhkan (hukuman);
sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
Dan
Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta
benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum
kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu.
Wahai Nabi,
katakanlah kepada isteri-isterimu: "Sekiranya kamu semua mahukan
kehidupan dunia (yang mewah) dan perhiasannya (yang indah), maka marilah
supaya aku berikan kepada kamu pemberian mut'ah (sagu hati), dan aku
lepaskan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya.
"Dan
sekiranya kamu semua mahukan (keredaan) Allah dan RasulNya serta (nikmat
kemewahan) di negeri akhirat maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi
orang-orang yang berbuat baik di antara kamu: pahala yang besar".
Wahai
isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan sesuatu
perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya
dua kali ganda. Dan (hukuman) yang demikian itu adalah mudah bagi Allah
melaksanakannya.
Dan sesiapa
di antara kamu semua tetap taat kepada Allah dan RasulNya serta
mengerjakan amal yang soleh, Kami akan beri kepadanya pahala amalnya itu
dua kali ganda, dan Kami sediakan baginya limpah kurnia yang mulia.
Wahai
isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang
lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata
dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang
demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam
hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah
dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Dan
hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan
diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu;
dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada
Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya
itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang
mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu
sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
Dan
ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat
Allah (Al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis Rasulullah).
Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam
pengetahuanNya.
Sesungguhnya
orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam,
dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang
beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan
yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan
yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang
perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada
Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah),
dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang
bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang
perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara
kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya,
dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta
orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah
telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
Dan
tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan -
apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara
- (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri
mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah
dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang
jelas nyata.
Dan
(ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah
dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah
berbuat baik kepadanya: "Jangan ceraikan isterimu itu dan bertaqwalah
kepada Allah", sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang
Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian manusia
padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya).
Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya
(dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak
ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan
isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu
telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu
menceraikannya). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu
tetap berlaku.
Tidaklah
ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam melaksanakan
perkara yang telah ditetapkan Allah baginya. (Yang demikian itu) adalah
menurut peraturan Allah yang tetap, yang berlaku juga kepada Nabi-nabi
yang telah lalu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu adalah satu ketetapan
yang ditentukan berlakunya.
(Nabi-nabi
yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah
serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut
kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi
Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas
mereka).
Bukanlah
Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang
sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul
Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Wahai orang-orang yang
beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama
Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya;
Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
Dia lah yang memberi
rahmat kepada kamu - dan malaikatNya pula (berdoa bagi kamu) - untuk
mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya
yang terang-benderang (iman dari taat); dan adalah Ia sentiasa
Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan
di akhirat).
Sambutan penghormatan
yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuiNya ialah ucapan
"Salam" (selamat sejahtera); dan Ia telah menyediakan untuk mereka
pahala balasan yang mulia.
Wahai Nabi, sesungguhnya
Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita
gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada
orang-orang yang ingkar).
Dan juga sebagai penyeru
(umat manusia seluruhnya) kepada agama Allah dengan taufiq yang
diberiNya; dan sebagai lampu yang menerangi.
Dan (dengan itu)
sampaikanlah berita yang mengembirakan kepada orang-orang yang beriman,
bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari
Allah.
Dan janganlah engkau
menurut kehendak orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan janganlah
engkau hiraukan usikan dan celaan mereka, serta berserahlah kepada
Allah (memelihara keadaanmu); dan cukuplah Allah menjadi Pelindung (yang
menyelamatkanmu).
Wahai orang-orang yang
beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman,
kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah
kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh
hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "mut'ah" (pemberian sagu hati)
kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.
Wahai Nabi, sesungguhnya
Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan
maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang
telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami
telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu):
anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak
perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan
bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak
saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu;
dan (Kami telah halalkan bagimu) mana-mana perempuan yang beriman yang
memberikan dirinya kepada Nabi (untuk dikahwininya dengan tidak membayar
maskahwin) kalaulah Nabi suka berkahwin dengannya; perkahwinan yang
demikian adalah khas bagimu semata-mata, buka bagi orang-orang yang
beriman umumnya; sesungguhnya Kami telah mengetahui apa yang Kami
wajibkan kepada orang-orang mukmin mengenai isteri-isteri mereka dan
hamba-hamba perempuan yang mereka miliki; - supaya tidak menjadi
keberatan bagimu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Engkau boleh menangguhkan
sesiapa yang engkau kehendaki dari mereka dan engkau boleh mendamping:
sesiapa yang engkau kehendaki; dan sesiapa yang engkau hendak
mendampinginya kembali dari mereka yang telah engkau jauhi itu maka
tidaklah menjadi salah bagimu melakukannya; kebebasan yang diberikan
kepadamu itu (bila diketahui oleh mereka) adalah lebih dekat untuk
mententeramkan hati mereka, dan menjadikan mereka tidak berdukacita,
serta menjadikan mereka pula reda akan apa yang engkau lakukan kepada
mereka semuanya. Dan (ingatlah) Allah sedia mengetahui apa yang ada
dalam hati kamu; dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
Tidak halal bagimu
berkahwin dengan perempuan-perempuan yang lain sesudah (isteri-isterimu
yang ada) itu, dan engkau juga tidak boleh menggantikan mereka dengan
isteri-isteri yang baharu sekalipun engkau tertarik hati kepada
kecantikan mereka, kecuali hamba-hamba perempuan yang engkau miliki. Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak
kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri
jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu
dijemput maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan); kemudian setelah
kamu makan maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk
bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu
menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga ia merasa malu (hendak
menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada
menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus
diminta dari isteri-isteri Nabi maka mintalah kepada mereka dari sebalik
tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.
Dan kamu tidak boleh sama sekali menyakiti Rasul Allah dan tidak boleh
berkahwin dengan isteri-isterinya sesudah ia wafat selama-lamanya.
Sesungguhnya segala yang tersebut itu adalah amat besar dosanya di sisi
Allah.
Awasilah keadaan-keadaan
kamu, kerana) jika kamu nyatakan sesuatu atau kamu sembunyikan dia, maka
sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.
Tidak ada salahnya kepada
perempuan-perempuan (yang tidak berpakaian yang melindungi anggota yang
haram dipandang oleh lelaki asing itu) menemui bapa-bapa mereka, dan
anak-anak lelaki mereka, dan saudara-saudara lelaki mereka, dan
anak-anak lelaki saudara-saudara lelaki mereka, dan anak-anak lelaki
saudara-saudara perempuan mereka, dan perempuan-perempuan Islam mereka,
serta hamba-hamba yang dimiliki oleh mereka. Dan bertaqwalah kamu kepada
Allah; sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Sesungguhnya Allah dan
malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada
Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah
kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang
sepenuhnya.
Sesungguhnya
orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan
RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan
menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
Dan
orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang
beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau
perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya,
maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta,
dan berbuat dosa yang amat nyata.
Wahai Nabi, suruhlah
isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang
beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya
(semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka
dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak
diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani.
Demi
sesungguhnya, jika orang-orang munafik, dan orang-orang yang ada
penyakit (syak ragu-ragu) dalam hatinya, serta orang-orang yang
menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari
perbuatan jahat masing-masing), nescaya Kami akan mendesakmu memerangi
mereka; sesudah itu mereka tidak akan tinggal berjiran denganmu di
Madinah lagi melainkan sebentar sahaja,
serta mereka tetap ditimpa laknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.
Yang demikian adalah
menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah yang telah lalu;
dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi
"Sunnatullah" itu.
Manusia
bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat;
katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi
Allah. " Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa
datangnya tidak lama lagi.
Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api neraka yang marak menjulang, -
Kekallah mereka di
dalamnya selama-lamanya; mereka pula tidak akan memperoleh sesiapapun
yang akan menjadi pelindung atau penolong.
Pada masa
muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan
sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat
kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.
Dan mereka berkata lagi:
"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua
dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan
yang benar.
"Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"
Wahai orang-orang yang
beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah
mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang
mereka katakan; dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah.
Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara),
Supaya Ia memberi taufiq
dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka
sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan.
Sesungguhnya Kami telah
kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta
gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan
bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka
persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan
persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya
tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula
membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.
(Dengan kesanggupan
manusia memikul amanah itu maka) akibatnya Allah akan menyeksa
orang-orang lelaki yang munafik serta orang-orang perempuan yang
munafik, dan orang-orang lelaki yang musyrik serta orang-orang perempuan
yang musyrik; dan juga Allah akan menerima taubat orang-orang lelaki
yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman. Dan sememangnya
Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
surah al-ahzaab
No comments:
Post a Comment